Saturday 15 October 2016

KAEDAH MERANCANG KEHAMILAN YANG BERKESAN


"APAKAH KAEDAH PERANCANG KELUARGA YANG TERBAIK DAN BERKESAN UNTUK SAYA?"

 Kita telah membincangkan tentang kehamilan yang berisiko dan telah mengenalpasti wanita yang berisiko tinggi sekiranya mereka hamil dalam post sebelum ini; seperti wanita yang mempunyai penyakit darah tinggi atau kencing manis, ibu hamil yang menghadapi masalah anemia (kurang Hb) dan sebagainya. perancangkeluargasabak.blogspot.my/2016/09/siapakah-golongan-wanita-yang-berisiko.html?m=1

Jadi, bagi ibu yang baru melahirkan anak untuk menjarakkan kehamilan, atau bagi wanita berusia 40 tahun ke atas yang tidak berkeinginan zuriat lagi atas sebab kesihatan dan faktor usia, harus mengamalkan kaedah perancang keluarga; sama ada kaedah semulajadi atau moden.

Kaedah semulajadi termasuklah azal, LAM (lactation amenorrhea), kaedah kalendar menentukan waktu subur dan kaedah kepekatan mukus serviks. Kaedah moden adalah kondom, pil, suntikan, alat dalam rahim (ADR), implan dan kaedah sterilisasi (vasektomi, BTL). 
*LAM- merupakan kaedah perancang keluarga yang berkesan jika diamalkan dalam tempoh 6 bulan pertama selepas bersalin. Kaedah ini cuma berkesan dengan 3 syarat; bayi kurang dari 6 bulan, ibu meneruskan penyusuan susu ibu tanpa makanan tambahan, ibu belum datang haid. Sekiranya ibu telah datang haid dalam tempoh ini, kaedah LAM ini sudah tidak berkesan sebagai pencegah kehamilan.

Terdapat beberapa perkara penting perlu diambil kira sebelum membuat pilihan kaedah perancang keluarga. 
i. Keberkesanan 
- kaedah yang paling berkesan tidak memerlukan tindakan berulang. Sekiranya seseorang klien ingin mengambil pil sebagai kaedah perancang keluarga, klien seharusnya berdisiplin untuk mengambil pil setiap hari atau seperti yang diarahkan untuk hasil yang berkesan. 
ii. Kesan sampingan 
- Sebaik- baiknya berbincang dengan jururawat, farmasi atau doktor untuk mengetahui kesan sampingan sesuatu kaedah kontraseptif. Seperti kaedah hormon (pil, suntikan dan implan), kesan sampingan adalah biasa pada permulaannya, tetapi mungkin hilang selepas beberapa bulan. 
iii. Kekal, jangka panjang atau jangka pendek
- ADR adalah  antara kaedah perancang keluarga untuk jangka panjang, iaitu selama 3 tahun. Sekiranya selepas 3 tahun pemakaian, klien hendak memasang semula ADR yang baru, prosedur mengeluarkan ADR yang lama dan memasang ADR yang baru boleh dilakukan pada masa yang sama. 
iv. Masalah kesihatan/ perubatan yang dihidapi 
-  Sejarah perubatan/ pembedahan, sejarah obstetrik/ kandungan yang lalu untuk setiap klien mesti diketahui sebelum sesuatu kaedah perancang keluarga dimulakan.
v. Perlindungan daripada HIV/ AIDS dan penyakit kelamin lain
- kondom adalah satu- satunya kaedah untuk mencegah kehamilan yang boleh melindungi anda daripada jangkitan penyakit kelamin (sexually transmitted infections).

 Kaedah  perancang keluarga yang berkesan adalah kaedah perancang yang mempunyai Pearl Index kurang dari 9. Pearl Index merujuk kepada bilangan kehamilan yang terjadi semasa menggunakan kaedah perancang keluarga yang khusus bagi setiap 100 wanita dalam tempoh setahun. Contoh kaedah perancang keluarga yang mempunyai Pearl Index yang kurang daripada 9 ialah kaedah sterilisasi (vasektomi, BTL), kaedah hormonal kontraseptif (oral, suntikan, implan) dan kaedah alat dalam rahim ADR. 


Pemilihan kaedah perancang keluarga sebaik- baiknya dibuat dan dipersetujui oleh kedua- dua pihak suami isteri. Jika pasangan memilih kaedah bersama, kedua- dua pasangan mungkin memberi sokongan sesama sendiri dalam penggunaan kaedah itu. Selain dapat mengeratkan hubungan, perbincangan dan perkongsian maklumat dengan pasangan juga menunjukkan keprihatinan tentang kesihatan masing- masing.

Penggunaan Buku Panduan Kriteria Kelayakan Perubatan dan Soal Jawab Amalan Penggunaan Kaedah Kontraseptif 
Garispanduan ini digunakan semasa Pengendalian Perkhidmatan Perancang Keluarga di Klinik- Klinik Kesihatan Kerajaan untuk membantu petugas kesihatan semasa sesi kaunseling perancang dijalankan. Setelah faktor risiko dikenalpasti serta pemeriksaan fizikal dan ujian makmal dijalankan, pelanggan dengan bantuan petugas kesihatan akan memilih kaedah perancang keluarga yang sesuai. Buku ini digunakan sebagai panduan pemilihan dan pemberian kaedah kontraseptif semasa permulaan rawatan dan susulan. 


Disediakan oleh, 
 Dr Izanna binti Ideris
Pengerusi Kumpulan Sokongan Perancang Keluarga Daerah Sabak Bernam 

Rujukan:
1. Alat Bantu Membuat Keputusan Decision Making Tool (DMT) 
2. Modul  Pengajar Program Perancang Keluarga
3. Indikator Kualiti Aktiviti Perancang Keluarga- Amalan perancang keluarga yang berkesan di kalangan pelanggan berisiko 
4. Buku Panduan Kriteria Kelayakan Perubatan dan Soal Jawab Amalan Penggunaan Kaedah Kontraseptif