Friday 23 December 2016

"HAPPY FAMILY KIT"

Happy Family Kit ini merupakan hasil inovasi staf Unit Kesihatan Keluarga, Klinik Kesihatan Sungai Besar. Kit ini mula dicipta pada bulan Ogos 2015 untuk dipertandingkan di antara unit- unit KK Sg Besar sempena Kem ‘I Want’, peringkat Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam pada 5 September 2015. Semasa kem tersebut, penggunaan hasil inovasi ini telah berjaya menarik minat pengunjung ke tapak pameran.
Kit ini dicipta bagi tujuan pendidikan kesihatan dan mempromosikan perkhidmatan kesihatan keluarga dalam kaedah yang bukan konvensional kepada klien. Ia mempunyai tiga komponen utama iaitu rumah perancang keluarga, payung imunisasi dan manual motivasi keluarga
 Ciri- ciri hasil inovasi ini menepati konsep 4M iaitu mobile, menarik, murah dan mudah dibuat. Kit ini mudah untuk dibawa ke mana- mana untuk tujuan pameran kesihatan semasa kem kesihatan, juga penggunaan di klinik kesihatan sewaktu sesi kaunseling perancang keluarga dan pemeriksaan kanak- kanak dilakukan. Dengan penggunaan kit ini, dapat meningkatkan tahap kepuasan pelanggan dan penerimaan maklumat dengan lebih berkesan semasa proses kaunseling diberikan. Selain itu, ia dapat menjimatkan masa semasa proses kaunseling berlangsung sama ada secara individu atau berkumpulan. 


Rumah perancang keluarga
Rumah perancang keluarga ini diperbuat daripada kotak yang dibentuk menjadi sebuah rumah. Rumah ini boleh dibuka, dilipat dan dipasang semula. Bahagian dinding dalam rumah mengandungi informasi berkaitan jenis- jenis alat perancang keluarga yang disediakan di fasiliti kesihatan kerajaan. Penerangan ringkas tentang setiap kaedah perancang, keberkesanan, kelebihan dan kesan sampingan kaedah terdapat dalam rumah ini. Selain itu, contoh alat- alat perancang turut disertakan.    



 
Payung imunisasi
 Bayi memegang payung merupakan simbolik kepada perlunya imunisasi untuk melindungi bayi daripada penyakit berjangkit seperti measles (campak), TB, polio, diphtheria, pertussis (batuk kokol), tetanus (kancing gigi), Hemophilus Influenza B, mumps (beguk), rubella, Hepatitis B dan JE. Di sekeliling payung terdapat nama- nama vaksin imunisasi, serta penyakit- penyakit berjangkit yang boleh dicegah serta waktu (usia bayi) untuk imunisasi perlu diberikan kepada bayi. 


 Manual motivasi keluarga 


Manual ini lengkap dengan topik kesihatan wanita dan kanak- kanak, meragkumi amalan dan kaedah perancang keluarga, kesihatan perkembangan dan tumbesaran kanak- kanak, pemakanan yang sihat untuk kanak- kanak serta soalan lazim mengenai vaksin dan imunisasi. Penerangan lebih jelas tentang payung imunisasi turut dimuatkan dalam manual ini.  

Baru- baru ini telah berlangsung Karnival Inovasi peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dari 7 hingga 8 Disember 2016 di Hospital Selayang.  
Happy Family Kit telah dipertandingkan sewaktu karnival inovasi ini, dan telah berjaya memenangi Anugerah Penghargaan Pengadil Projek Inovasi bagi kategori (proses) dan mendapat pujian dari para juri dan pengunjung booth pameran. Rata- rata pengunjung memberi komen positif terhadap ‘Happy Family Kit’ ini- kreatif, menarik dan informatif! 
Dari kiri: JM Siti Aslinda Samad, JK Norhafizah Noordin, JM Premala a/p Krishnan, Dr Hjh Jamaliah bt Jamil (Pegawai Kesihatan Daerah Sabak Bernam), KJK Asnita Md Arim dan Dr Hjh Noraini bt Jali
 
Ahli Kumpulan Inovasi ‘Happy Family Kit’:
Dr Noraini Jali, Dr Hatharul Irni Abdul Halim, KJK Asnita Md Arim, JK Norhafizah Noordin, JM Ungku Balqis Ungku Mahmood, JM Siti Aslinda Samad, JM Premala a/p Krishnan
Klinik Kesihatan Sungai Besar, Sabak Bernam