Friday 23 December 2016

"HAPPY FAMILY KIT"

Happy Family Kit ini merupakan hasil inovasi staf Unit Kesihatan Keluarga, Klinik Kesihatan Sungai Besar. Kit ini mula dicipta pada bulan Ogos 2015 untuk dipertandingkan di antara unit- unit KK Sg Besar sempena Kem ‘I Want’, peringkat Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam pada 5 September 2015. Semasa kem tersebut, penggunaan hasil inovasi ini telah berjaya menarik minat pengunjung ke tapak pameran.
Kit ini dicipta bagi tujuan pendidikan kesihatan dan mempromosikan perkhidmatan kesihatan keluarga dalam kaedah yang bukan konvensional kepada klien. Ia mempunyai tiga komponen utama iaitu rumah perancang keluarga, payung imunisasi dan manual motivasi keluarga
 Ciri- ciri hasil inovasi ini menepati konsep 4M iaitu mobile, menarik, murah dan mudah dibuat. Kit ini mudah untuk dibawa ke mana- mana untuk tujuan pameran kesihatan semasa kem kesihatan, juga penggunaan di klinik kesihatan sewaktu sesi kaunseling perancang keluarga dan pemeriksaan kanak- kanak dilakukan. Dengan penggunaan kit ini, dapat meningkatkan tahap kepuasan pelanggan dan penerimaan maklumat dengan lebih berkesan semasa proses kaunseling diberikan. Selain itu, ia dapat menjimatkan masa semasa proses kaunseling berlangsung sama ada secara individu atau berkumpulan. 


Rumah perancang keluarga
Rumah perancang keluarga ini diperbuat daripada kotak yang dibentuk menjadi sebuah rumah. Rumah ini boleh dibuka, dilipat dan dipasang semula. Bahagian dinding dalam rumah mengandungi informasi berkaitan jenis- jenis alat perancang keluarga yang disediakan di fasiliti kesihatan kerajaan. Penerangan ringkas tentang setiap kaedah perancang, keberkesanan, kelebihan dan kesan sampingan kaedah terdapat dalam rumah ini. Selain itu, contoh alat- alat perancang turut disertakan.    



 
Payung imunisasi
 Bayi memegang payung merupakan simbolik kepada perlunya imunisasi untuk melindungi bayi daripada penyakit berjangkit seperti measles (campak), TB, polio, diphtheria, pertussis (batuk kokol), tetanus (kancing gigi), Hemophilus Influenza B, mumps (beguk), rubella, Hepatitis B dan JE. Di sekeliling payung terdapat nama- nama vaksin imunisasi, serta penyakit- penyakit berjangkit yang boleh dicegah serta waktu (usia bayi) untuk imunisasi perlu diberikan kepada bayi. 


 Manual motivasi keluarga 


Manual ini lengkap dengan topik kesihatan wanita dan kanak- kanak, meragkumi amalan dan kaedah perancang keluarga, kesihatan perkembangan dan tumbesaran kanak- kanak, pemakanan yang sihat untuk kanak- kanak serta soalan lazim mengenai vaksin dan imunisasi. Penerangan lebih jelas tentang payung imunisasi turut dimuatkan dalam manual ini.  

Baru- baru ini telah berlangsung Karnival Inovasi peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dari 7 hingga 8 Disember 2016 di Hospital Selayang.  
Happy Family Kit telah dipertandingkan sewaktu karnival inovasi ini, dan telah berjaya memenangi Anugerah Penghargaan Pengadil Projek Inovasi bagi kategori (proses) dan mendapat pujian dari para juri dan pengunjung booth pameran. Rata- rata pengunjung memberi komen positif terhadap ‘Happy Family Kit’ ini- kreatif, menarik dan informatif! 
Dari kiri: JM Siti Aslinda Samad, JK Norhafizah Noordin, JM Premala a/p Krishnan, Dr Hjh Jamaliah bt Jamil (Pegawai Kesihatan Daerah Sabak Bernam), KJK Asnita Md Arim dan Dr Hjh Noraini bt Jali
 
Ahli Kumpulan Inovasi ‘Happy Family Kit’:
Dr Noraini Jali, Dr Hatharul Irni Abdul Halim, KJK Asnita Md Arim, JK Norhafizah Noordin, JM Ungku Balqis Ungku Mahmood, JM Siti Aslinda Samad, JM Premala a/p Krishnan
Klinik Kesihatan Sungai Besar, Sabak Bernam

Sunday 20 November 2016

KAEDAH KONTRASEPTIF HORMONAL- PIL

Kaedah kontraseptif hormonal termasuklah pil perancang, suntikan, implan dan LNG (levenogestrel)- ADR. 

Bagi kaedah pil,  terdapat 2 jenis pil iaitu:
  1. Pil kombinasi (Combined oral contraceptive pill)
  2. Pil progestin (Progestrogen only pill) 
Mekanisma pil perancang menghalang kehamilan adalah melalui:
  • Kesan sentral 
  • Kesan periferal 
Semasa kitaran haid yang normal, kesan daripada perubahan hormon progestin dan estrogen, folikel dalam ovari dapat berkembang dengan baik, dan "LH surge" pada pertengahan kitaran menyebabkan ovulasi berlaku. 
Sekiranya seseorang wanita mengambil pil kontraseptif, akan menyebabkan hormon progestin dan estrogen yang sekata dalam darah sepanjang kitaran haid. Ini menyebabkan folikel di dalam ovari tidak berkembang dan "LH surge" tidak berlaku. Dengan itu, tiada ovulasi akan berlaku

Pengambilan pil kontraseptif juga mendatangkan perubahan kepada kesan periferal. Paras hormon progestin dan estrogen yang sekata dalam darah akan menyebabkan:
  • Folikel dalam ovari tidak berkembang
  • Mukus serviks menjadi likat dan kental. Ini akan menghalang pergerakan sperma ke dalam rahim 
  • Endometrium tidak menebal dengan baik dan tidak sesuai untuk implantasi berlaku
  • Fungsi silia dalam salur falopian kurang berkesan
 1. Pil kombinasi (COCP)
 Pil jenis ini mengandungi 2 hormon iaitu estrogen dan progestin. Contoh adalah berikut:
  • Dos tinggi (30- 35microgram ethinylestradiol)- Nordette, Microgynon, Rigevidon, Marvelon, Dianne, Regulon, Yasmin
  • Dos rendah (20microgram ethinylestradiol)- Loette, Mercilon 
Bagi pil kombinasi, mekanisma menghalang kehamilan yang utama adalah kesan sentral (menghalang ovulasi berlaku). 
Pil kombinasi perlu diambil setiap hari selama 21 hari dan kemudian rehat selama 7 hari. 

2. Pil progestin (POP)
Pil jenis ini mempunyai hormon progestin sahaja dan tidak mempunyai estrogen. Contoh: Noriday. 
Pil ini adalah pilihan yang baik untuk ibu yang menyusukan bayi kerana ia tidak mengganggu penghasilan susu ibu. 
Pil jenis ini perlu diambil setiap hari secara berterusan, pada masa yang sama (tidak lebih dari 3 jam). 
Bagi pil progestin, mekanisma tindakan utama adalah penebalan mukus serviks yang menghalang pergerakan sperma ke dalam rahim.

Berikut adalah antara faedah pil kontraseptif:
  • Sangat berkesan: Pearl Index 0.3% (jika guna secara betul dan konsisten) hingga 8%
  • Kesuburan pulih segera
  • Perlindungan terhadap penyakit jangkitan pelvik (PID)
  • Kitaran haid teratur (pil kombinasi)
  • Pendarahan haid kurang dan elakkan masalah anemia
  • Perlindungan dari kanser ovari dan endometrium 
Kelemahan pil kontraseptif termasuk:
  •  Penggunaan yang salah kerap terjadi contohnya lupa makan, tidak mula makan pada tarikh yang ditetapkan, dan makan pil selepas persetubuhan 
  • Memerlukan penggunaan harian 
  • Kerap terjadi kesan sampingan
  • Tidak mempunyai perlindungan terhadap penyakit kelamin
  • Perlu bekalan semula 

Pemilihan COCP/ POP haruslah merujuk kepada kriteria kelayakan perubatan MEC kaedah pil kontraseptif. 
Sebagai contoh, kaedah pil kontraseptif kombinasi tidak boleh digunakan oleh:
  • ibu yang menyusukan bayi kurang dari 6 minggu postpartum
  • merokok > 15 batang sehari
  • wanita berumur > 35 tahun
  • berisiko tinggi mendapat penyakit kardiovaskular (kencing manis, darah tinggi dan merokok)
  • darah tinggi tak terkawal >160/100mmHg

Pelanggan yang sering terlupa pil adalah disyorkan untuk menggunakan kaedah lain kerana menyebabkan ia kurang berkesan. 

 PIL KECEMASAN
Pil kecemasan diambil dalam tempoh 72 jam hingga 120 jam selepas hubungan seks tanpa perlindungan kontraseptif. Keberkesanan akan berkurangan jika tempoh masa untuk pengambilan pil dengan hubungan seks tanpa perlindungan adalah panjang (keberkesanan berkurang selepas 72 jam). 
Pil ini tidak akan memberi kesan sekiranya pelanggan telah mengandung semasa pengambilan. Ia boleh digunakan bila- bila masa semasa kitaran haid dan lebih dari satu kali semasa kitaran haid. Namun, penggunaan kaedah ini berkali- kali tidak digalakkan, adalah lebih baik menggunakan kaedah yang melindungi untuk tempoh jangka masa yang lama seperti implan, suntikan atau alat dalam rahim. 

 *Maklumat yang tidak dinyatakan di sini:
1. Jadual sekiranya terlupa makan pil
2. Pengambilan pil sekiranya pelanggan termuntah


Kaedah perancang keluarga:
  • Kaedah semulajadi 
  • Kaedah halangan (kondom)
  • Pil kontraseptif
  • Suntikan 
  • Implan 
  • Alat Dalam Rahim 
  • Kaedah sterilisasi

Disediakan oleh, 
Dr Izanna Ideris
Pengerusi Kumpulan Sokongan Perancang Keluarga Sabak Bernam


Rujukan:
1. Alat Bantu Membuat Keputusan Decision Making Tool (DMT) 
2. Modul  Pengajar Program Perancang Keluarga
3.Buku Panduan Kriteria Kelayakan Perubatan dan Soal Jawab Amalan Penggunaan Kaedah Kontraseptif
 

KAEDAH KONTRASEPTIF TANPA HORMON- KAEDAH HALANGAN

Kaedah halangan yang akan dibincangkan dalam topik kali ini adalah kondom lelaki (Kaedah kondom wanita atau kap serviks tidak dibincang di sini). 


 Kaedah kontraseptif halangan adalah kaedah yang menghalang sperma dari memasuki faraj dan pintu rahim. Ia adalah antara kaedah yang paling lama digunakan untuk mengelakkan kehamilan. Selain daripada fungsi sebagai kontraseptif, kaedah halangan adalah satu- satunya kaedah yang melindungi daripada jangkitan penyakit kelamin termasuklah HIV. Kaedah ini boleh digunakan bersama kaedah perancang keluarga yang lain.
 Kelebihan dan keburukan kaedah ini adalah seperti berikut:
   Keberkesanan kaedah ini bergantung kepada cara, kekerapan dan masa penggunaan yang betul. Lebih kurang terjadi 15 kehamilan per 100 wanita, dalam tahun pertama menggunakan kondom (Pearl index). 
Penggunaan kondom yang betul penting untuk meningkatkan keberkesanannya sebagai alat pencegah kehamilan. 
Kaedah pemasangan kondom yang betul. Gelembung pada hujung kondom perlu dipicit semasa memasang kondom bagi mengelakkan udara terkumpul, untuk mengelakkan kondom bocor semasa ejakulasi berlaku. 
Sebelum menggunakan kondom, pastikan tarikh luput kondom, peket kondom yang baru tidak terkoyak dan jangan menggunakan gunting atau pisau untuk membuka peket kondom untuk mengelakkan kondom terkoyak. 

Penggunaan pelincir berasaskan minyak boleh melemahkan kondom dan menyebabkannya koyak. Elakkan bahan yang berasaskan minyak seperti minyak masak, minyak bayi, minyak kelapa, jeli petroleum atau mentega. Bahan berasaskan air adalah dibolehkan. Ianya termasuk gliserin, pelincir yang terdapat di pasaran dan air bersih. 
Kondom perlu disimpan di tempat yang terlindung daripada cahaya matahari kerana cahaya matahari dan haba boleh menjadikan kondom lemah dan mudah koyak.


Kaedah perancang keluarga:
  • Kaedah semulajadi 
  • Kaedah halangan (kondom)
  • Pil kontraseptif
  • Suntikan 
  • Implan 
  • Alat Dalam Rahim 
  • Kaedah sterilisasi

Disediakan oleh,
Dr Izanna Ideris
Pengerusi Kumpulan Sokongan Perancang Keluarga Sabak Bernam  

Saturday 19 November 2016

KAEDAH - KAEDAH PERANCANG KELUARGA- KAEDAH SEMULAJADI



Terdapat pelbagai kaedah perancang keluarga sama ada kaedah semulajadi atau kaedah moden. Entry kali ini akan membincangkan tentang kaedah semulajadi. 

Kaedah semulajadi
Sesetengah wanita lebih cenderung memilih kaedah semulajadi sebagai kaedah perancang keluarga pilihan mereka. Antara kaedah semulajadi yang boleh digunakan ialah:
1. Kaedah kesedaran tempoh subur
  • kaedah kalendar (masa selamat)
  • kaedah suhu badan 
  • kaedah mukus serviks 
  • kaedah kombinasi- menggunakan semua kaedah untuk meningkatkan ketepatan jangkaan masa ovulasi
2. Kaedah laktasi (LAM)
3. Kaedah azal 

1. Kaedah kesedaran tempoh subur 
Kaedah ini adalah di mana wanita mengenalpasti tempoh masa subur bermula dan berakhir. Waktu subur ialah sekitar waktu ovulasi akan berlaku. Ovulasi ialah masa penetasan ovum (benih wanita) dari ovari dan ianya dikawal oleh beberapa jenis hormon. Sekiranya kaedah semulajadi ini diamalkan, seharusnya persetubuhan dielakkan pada waku subur ini. Sebelum kita bincang lebih mendalam tentang kaedah pertama ini, kita perlu memahami anatomi sistem reproduktif wanita dan kitaran haid yang normal, kerana ini dapat membantu kita untuk mengenalpasti bilakah waktu subur seseorang wanita itu. 

Organ reproduktif wanita terdiri daripada:
Kitaran haid ialah proses di mana badan seseorang wanita membuat persediaan untuk hamil. Umur mula datang haid (menarche) biasanya dalam lingkungan di antara 11- 17 tahun, manakala umur untuk menopaus (putus haid) di antara 45- 54 tahun. Satu kitaran haid yang normal ialah 28 hari- 31 hari. Namun, seseorang wanita boleh memiliki kitaran haid di antara 23- 35 hari. 

Waktu subur dalam kitaran haid adalah selama 6 hari, bermula 5 hari sebelum ovulasi dan berakhir pada hari ovulasi berlaku.

Ovulasi biasanya berlaku di antara hari ke-7 hingga ke-21 dalam satu kitaran. Walaubagaimanapun, ia juga boleh berlaku pada bila- bila masa dalam kitaran selepas tempoh haid berakhir. Untuk perlindungan yang baik, pasangan patut menggunakan kontraseptif sepanjang kitaran haid. 
Kitaran haid dikawal oleh hormon FSH/ LH/ estrogen dan progesteron. FSH/ LH akan menentukan ovulasi berlaku, estrogen menentukan keadaan mukus serviks dan progesterone menghasilkan peningkatan suhu badan.  
Keberkesanan kaedah kesedaran tempoh subur bergantung kepada amalan secara konsisten dan betul. Wanita yang menggunakan kaedah ini perlu peka kepada perubahan yang berlaku pada tubuh- kitaran haid, suhu badan dan perubahan cecair faraj. Kaedah ini memerlukan kerjasama daripada pasangan. Pasangan perlu komited untuk mengelakkan hubungan seks atau menggunakan kaedah lain seperti azal dan halangan ketika hari subur. Kaedah ini boleh diamalkan oleh semua wanita kerana tiada kesan sampingan atau risiko kesihatan. Namun, kaedah ini tidak sesuai untuk ibu yang berisiko tinggi disebabkan kadar kegagalan yang tinggi. Kaedah ini boleh digunakan oleh pasangan yang mengamal agama yang tidak membenarkan kaedah kontraseptif lain. 
Tambahan untuk kaedah kalendar:
  • Kaedah ini boleh digunakan jika kitaran haid di antara 28- 31 hari. Sekiranya terdapat 2 atau lebih kitaran haid yang panjang atau pendek dari tempoh tersebut, kaedah ini akan menjadi kurang efektif. 
  • Wanita yang mempunyai masalah haid tidak tetap dan wanita pada peringkat perimenopaus kurang sesuai menggunakan kaedah ini. 
  • Wanita yang baru melahirkan/ menyusukan bayi perlu tunggu sehingga 3 kali kitaran haid dan kitaran menjadi stabil. 

2. Kaedah laktasi (LAM- lactation amenorrhea)
 Penyusuan susu ibu adalah satu kaedah perancang keluarga semulajadi dan sementara. 3 kriteria berikut mesti dipenuuhi:
  Paras hormon prolaktin yang tinggi semasa penyusuan akan menghalang ovulasi. Tekanan kepada kedua- dua hormon FSH dan LH bertindak ke atas ovari yang akan mengeluarkan benih telur yang tidak matang atau menyebabkan rahim tidak subur. 
 Kelebihan kaedah ini; 
  • boleh diamalkan oleh hampir semua ibu yang menyusukan susu ibu
  • menyokong penyusuan susu ibu secara eksklusif (6 bulan)
  • mudah dan tidak memerlukan perbelanjaan
  • kadar keberkesanan 95- 98%
  • sesuai diterima pakai oleh semua bangsa dan agama 
Namun, kekurangan kaedah ini, berkesan hanya untuk tempoh 6 bulan sahaja. Selain itu, ibu yang dijangkiti HIV/ AIDS tidak boleh mengamalkan kaedah ini kerana transmisi (jangkitan) virus HIV boleh berlaku semasa penyusuan susu ibu sebanyak 33%. 

3) Kaedah azal 
Keadah ini adalah mengeluarkan zakar dari faraj sebelum ejakulasi supaya air mani dilepaskan di luar vagina. 
Kelebihan:
  • mudah
  • tidak perlu pengawasan perubatan
  • tiada kesan sampingan
  • menggalakkan kerjasama oleh kaum suami
Kekurangan:
  • tiada kepuasan
  • kadar kegagalan yang tinggi
  • memerlukan pengawalan diri yang baik di pihak lelaki
  • lelaki yang mengalami masalah ejakulasi pramatang tidak boleh menggunakan kaedah ini
Keberkesanan: 4% risiko kehamilan

Untuk entry seterusnya, kita akan bincangkan tentang kaedah kontraseptif moden (hormon dan tanpa hormon):
  • Kaedah halangan (kondom)
  • Pil kontraseptif
  • Suntikan 
  • Implan 
  • Alat Dalam Rahim 
  • Kaedah sterilisasi 

Disediakan oleh,
Dr Izanna bt Ideris
Pengerusi Kumpulan Sokongan Perancang Keluarga Sabak Bernam