Saturday 19 November 2016

KAEDAH - KAEDAH PERANCANG KELUARGA- KAEDAH SEMULAJADI



Terdapat pelbagai kaedah perancang keluarga sama ada kaedah semulajadi atau kaedah moden. Entry kali ini akan membincangkan tentang kaedah semulajadi. 

Kaedah semulajadi
Sesetengah wanita lebih cenderung memilih kaedah semulajadi sebagai kaedah perancang keluarga pilihan mereka. Antara kaedah semulajadi yang boleh digunakan ialah:
1. Kaedah kesedaran tempoh subur
  • kaedah kalendar (masa selamat)
  • kaedah suhu badan 
  • kaedah mukus serviks 
  • kaedah kombinasi- menggunakan semua kaedah untuk meningkatkan ketepatan jangkaan masa ovulasi
2. Kaedah laktasi (LAM)
3. Kaedah azal 

1. Kaedah kesedaran tempoh subur 
Kaedah ini adalah di mana wanita mengenalpasti tempoh masa subur bermula dan berakhir. Waktu subur ialah sekitar waktu ovulasi akan berlaku. Ovulasi ialah masa penetasan ovum (benih wanita) dari ovari dan ianya dikawal oleh beberapa jenis hormon. Sekiranya kaedah semulajadi ini diamalkan, seharusnya persetubuhan dielakkan pada waku subur ini. Sebelum kita bincang lebih mendalam tentang kaedah pertama ini, kita perlu memahami anatomi sistem reproduktif wanita dan kitaran haid yang normal, kerana ini dapat membantu kita untuk mengenalpasti bilakah waktu subur seseorang wanita itu. 

Organ reproduktif wanita terdiri daripada:
Kitaran haid ialah proses di mana badan seseorang wanita membuat persediaan untuk hamil. Umur mula datang haid (menarche) biasanya dalam lingkungan di antara 11- 17 tahun, manakala umur untuk menopaus (putus haid) di antara 45- 54 tahun. Satu kitaran haid yang normal ialah 28 hari- 31 hari. Namun, seseorang wanita boleh memiliki kitaran haid di antara 23- 35 hari. 

Waktu subur dalam kitaran haid adalah selama 6 hari, bermula 5 hari sebelum ovulasi dan berakhir pada hari ovulasi berlaku.

Ovulasi biasanya berlaku di antara hari ke-7 hingga ke-21 dalam satu kitaran. Walaubagaimanapun, ia juga boleh berlaku pada bila- bila masa dalam kitaran selepas tempoh haid berakhir. Untuk perlindungan yang baik, pasangan patut menggunakan kontraseptif sepanjang kitaran haid. 
Kitaran haid dikawal oleh hormon FSH/ LH/ estrogen dan progesteron. FSH/ LH akan menentukan ovulasi berlaku, estrogen menentukan keadaan mukus serviks dan progesterone menghasilkan peningkatan suhu badan.  
Keberkesanan kaedah kesedaran tempoh subur bergantung kepada amalan secara konsisten dan betul. Wanita yang menggunakan kaedah ini perlu peka kepada perubahan yang berlaku pada tubuh- kitaran haid, suhu badan dan perubahan cecair faraj. Kaedah ini memerlukan kerjasama daripada pasangan. Pasangan perlu komited untuk mengelakkan hubungan seks atau menggunakan kaedah lain seperti azal dan halangan ketika hari subur. Kaedah ini boleh diamalkan oleh semua wanita kerana tiada kesan sampingan atau risiko kesihatan. Namun, kaedah ini tidak sesuai untuk ibu yang berisiko tinggi disebabkan kadar kegagalan yang tinggi. Kaedah ini boleh digunakan oleh pasangan yang mengamal agama yang tidak membenarkan kaedah kontraseptif lain. 
Tambahan untuk kaedah kalendar:
  • Kaedah ini boleh digunakan jika kitaran haid di antara 28- 31 hari. Sekiranya terdapat 2 atau lebih kitaran haid yang panjang atau pendek dari tempoh tersebut, kaedah ini akan menjadi kurang efektif. 
  • Wanita yang mempunyai masalah haid tidak tetap dan wanita pada peringkat perimenopaus kurang sesuai menggunakan kaedah ini. 
  • Wanita yang baru melahirkan/ menyusukan bayi perlu tunggu sehingga 3 kali kitaran haid dan kitaran menjadi stabil. 

2. Kaedah laktasi (LAM- lactation amenorrhea)
 Penyusuan susu ibu adalah satu kaedah perancang keluarga semulajadi dan sementara. 3 kriteria berikut mesti dipenuuhi:
  Paras hormon prolaktin yang tinggi semasa penyusuan akan menghalang ovulasi. Tekanan kepada kedua- dua hormon FSH dan LH bertindak ke atas ovari yang akan mengeluarkan benih telur yang tidak matang atau menyebabkan rahim tidak subur. 
 Kelebihan kaedah ini; 
  • boleh diamalkan oleh hampir semua ibu yang menyusukan susu ibu
  • menyokong penyusuan susu ibu secara eksklusif (6 bulan)
  • mudah dan tidak memerlukan perbelanjaan
  • kadar keberkesanan 95- 98%
  • sesuai diterima pakai oleh semua bangsa dan agama 
Namun, kekurangan kaedah ini, berkesan hanya untuk tempoh 6 bulan sahaja. Selain itu, ibu yang dijangkiti HIV/ AIDS tidak boleh mengamalkan kaedah ini kerana transmisi (jangkitan) virus HIV boleh berlaku semasa penyusuan susu ibu sebanyak 33%. 

3) Kaedah azal 
Keadah ini adalah mengeluarkan zakar dari faraj sebelum ejakulasi supaya air mani dilepaskan di luar vagina. 
Kelebihan:
  • mudah
  • tidak perlu pengawasan perubatan
  • tiada kesan sampingan
  • menggalakkan kerjasama oleh kaum suami
Kekurangan:
  • tiada kepuasan
  • kadar kegagalan yang tinggi
  • memerlukan pengawalan diri yang baik di pihak lelaki
  • lelaki yang mengalami masalah ejakulasi pramatang tidak boleh menggunakan kaedah ini
Keberkesanan: 4% risiko kehamilan

Untuk entry seterusnya, kita akan bincangkan tentang kaedah kontraseptif moden (hormon dan tanpa hormon):
  • Kaedah halangan (kondom)
  • Pil kontraseptif
  • Suntikan 
  • Implan 
  • Alat Dalam Rahim 
  • Kaedah sterilisasi 

Disediakan oleh,
Dr Izanna bt Ideris
Pengerusi Kumpulan Sokongan Perancang Keluarga Sabak Bernam


No comments:

Post a Comment