Sunday, 20 November 2016

KAEDAH KONTRASEPTIF HORMONAL- PIL

Kaedah kontraseptif hormonal termasuklah pil perancang, suntikan, implan dan LNG (levenogestrel)- ADR. 

Bagi kaedah pil,  terdapat 2 jenis pil iaitu:
  1. Pil kombinasi (Combined oral contraceptive pill)
  2. Pil progestin (Progestrogen only pill) 
Mekanisma pil perancang menghalang kehamilan adalah melalui:
  • Kesan sentral 
  • Kesan periferal 
Semasa kitaran haid yang normal, kesan daripada perubahan hormon progestin dan estrogen, folikel dalam ovari dapat berkembang dengan baik, dan "LH surge" pada pertengahan kitaran menyebabkan ovulasi berlaku. 
Sekiranya seseorang wanita mengambil pil kontraseptif, akan menyebabkan hormon progestin dan estrogen yang sekata dalam darah sepanjang kitaran haid. Ini menyebabkan folikel di dalam ovari tidak berkembang dan "LH surge" tidak berlaku. Dengan itu, tiada ovulasi akan berlaku

Pengambilan pil kontraseptif juga mendatangkan perubahan kepada kesan periferal. Paras hormon progestin dan estrogen yang sekata dalam darah akan menyebabkan:
  • Folikel dalam ovari tidak berkembang
  • Mukus serviks menjadi likat dan kental. Ini akan menghalang pergerakan sperma ke dalam rahim 
  • Endometrium tidak menebal dengan baik dan tidak sesuai untuk implantasi berlaku
  • Fungsi silia dalam salur falopian kurang berkesan
 1. Pil kombinasi (COCP)
 Pil jenis ini mengandungi 2 hormon iaitu estrogen dan progestin. Contoh adalah berikut:
  • Dos tinggi (30- 35microgram ethinylestradiol)- Nordette, Microgynon, Rigevidon, Marvelon, Dianne, Regulon, Yasmin
  • Dos rendah (20microgram ethinylestradiol)- Loette, Mercilon 
Bagi pil kombinasi, mekanisma menghalang kehamilan yang utama adalah kesan sentral (menghalang ovulasi berlaku). 
Pil kombinasi perlu diambil setiap hari selama 21 hari dan kemudian rehat selama 7 hari. 

2. Pil progestin (POP)
Pil jenis ini mempunyai hormon progestin sahaja dan tidak mempunyai estrogen. Contoh: Noriday. 
Pil ini adalah pilihan yang baik untuk ibu yang menyusukan bayi kerana ia tidak mengganggu penghasilan susu ibu. 
Pil jenis ini perlu diambil setiap hari secara berterusan, pada masa yang sama (tidak lebih dari 3 jam). 
Bagi pil progestin, mekanisma tindakan utama adalah penebalan mukus serviks yang menghalang pergerakan sperma ke dalam rahim.

Berikut adalah antara faedah pil kontraseptif:
  • Sangat berkesan: Pearl Index 0.3% (jika guna secara betul dan konsisten) hingga 8%
  • Kesuburan pulih segera
  • Perlindungan terhadap penyakit jangkitan pelvik (PID)
  • Kitaran haid teratur (pil kombinasi)
  • Pendarahan haid kurang dan elakkan masalah anemia
  • Perlindungan dari kanser ovari dan endometrium 
Kelemahan pil kontraseptif termasuk:
  •  Penggunaan yang salah kerap terjadi contohnya lupa makan, tidak mula makan pada tarikh yang ditetapkan, dan makan pil selepas persetubuhan 
  • Memerlukan penggunaan harian 
  • Kerap terjadi kesan sampingan
  • Tidak mempunyai perlindungan terhadap penyakit kelamin
  • Perlu bekalan semula 

Pemilihan COCP/ POP haruslah merujuk kepada kriteria kelayakan perubatan MEC kaedah pil kontraseptif. 
Sebagai contoh, kaedah pil kontraseptif kombinasi tidak boleh digunakan oleh:
  • ibu yang menyusukan bayi kurang dari 6 minggu postpartum
  • merokok > 15 batang sehari
  • wanita berumur > 35 tahun
  • berisiko tinggi mendapat penyakit kardiovaskular (kencing manis, darah tinggi dan merokok)
  • darah tinggi tak terkawal >160/100mmHg

Pelanggan yang sering terlupa pil adalah disyorkan untuk menggunakan kaedah lain kerana menyebabkan ia kurang berkesan. 

 PIL KECEMASAN
Pil kecemasan diambil dalam tempoh 72 jam hingga 120 jam selepas hubungan seks tanpa perlindungan kontraseptif. Keberkesanan akan berkurangan jika tempoh masa untuk pengambilan pil dengan hubungan seks tanpa perlindungan adalah panjang (keberkesanan berkurang selepas 72 jam). 
Pil ini tidak akan memberi kesan sekiranya pelanggan telah mengandung semasa pengambilan. Ia boleh digunakan bila- bila masa semasa kitaran haid dan lebih dari satu kali semasa kitaran haid. Namun, penggunaan kaedah ini berkali- kali tidak digalakkan, adalah lebih baik menggunakan kaedah yang melindungi untuk tempoh jangka masa yang lama seperti implan, suntikan atau alat dalam rahim. 

 *Maklumat yang tidak dinyatakan di sini:
1. Jadual sekiranya terlupa makan pil
2. Pengambilan pil sekiranya pelanggan termuntah


Kaedah perancang keluarga:
  • Kaedah semulajadi 
  • Kaedah halangan (kondom)
  • Pil kontraseptif
  • Suntikan 
  • Implan 
  • Alat Dalam Rahim 
  • Kaedah sterilisasi

Disediakan oleh, 
Dr Izanna Ideris
Pengerusi Kumpulan Sokongan Perancang Keluarga Sabak Bernam


Rujukan:
1. Alat Bantu Membuat Keputusan Decision Making Tool (DMT) 
2. Modul  Pengajar Program Perancang Keluarga
3.Buku Panduan Kriteria Kelayakan Perubatan dan Soal Jawab Amalan Penggunaan Kaedah Kontraseptif
 

No comments:

Post a Comment